Islam adalah agama universal dan menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan. Allah S.W.T. menyuruh hambaNya agar sentiasa bergantung harapan hanya kepadaNya dalam apa jua yang dilakukan. Manusia sering kali menghadapi kesusahan dan kesulitan dalam kehidupan yang dipanggil ujian. Ada kalanya mereka buntu dan tidak tahu ingin membuat pilihan maka Solat Istikharah adalah salah satu jalan penyelesaian kepada masalah tersebut
Solat Istikharah adalah solat sunat yang dilaksanakan apabila seseorang berada dalam keadaan dilema untuk membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang ingin dilakukan atau dihajatkan. Adakah perkara tersebut mendatangkan kebaikan ataupun keburukan, bersesuaian atau bertentangan dengan diri seseorang. Maka seseorang itu boleh memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. menerusi Solat Sunat Istikharah
Solat Istikharah hanya boleh dilakukan untuk memohon petunjuk bagi seseuatu kebaikan sahaja dan tidak sama sekali untuk sesuatu yang tidak bermanfaat atau kejahatan. Ini kerana dari segi bahasa, Istikharah itu sendiri bermaksud meminta sesuatu kebaikan atau pilihan yang baik. Selain itu hendaklah diingatkan bahawa permasalahan yang menjadi dilema bukanlah daripada perkara yang telah ditetapkan hukum-hukumnya dalam Islam
Hanya urusan yang mubah (harus) baik isunya besar ataupun kecil, penting mahupun tidak, dibenarkan untuk melakukan istikharah. Lazimnya masyarakat akan kaitkan Solat Istikharah dengan permasalahan pemilihan jodoh atau pasangan hidup. Selain itu, banyak lagi perkara lain yang turut digalakkan bagi seseorang untuk mengerjakan Solat Istikharah seperti persoalan kerjaya atau kerja, tawaran sambung belajar dan sebagainya
Apakah itu Istikharah?
Merujuk kepada info dari FB Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Istikharah adalah memohon petunjuk dan jalan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dihadapi. Pengenalan istikharah diajar oleh Rasulullah adalah sebagai meminta petunjuk daripada Allah taala dengan pilihan yang terbaik dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan. Sesungguhnya Allah SWT adalah tempat kita mengadu dan memohon. Ianya adalah sebagai satu jalan terbaik untuk menentukan pilihan dan ikhtiar makhluk agar sentiasa dipandu dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT
Firman Allah SWT : “dan Tuhanmu menciptakan dan memilih apa yang Dia kehendaki, bagi manusia tidak ada pilihan (kecuali ianya adalah daripada pilihan dan ketentuan Allah)..” (al-Qasas : ayat 68)
Terdapat tiga cara dianjurkan oleh ulama:
- a) Menunaikan solat sunat 2 rakaat (Paling afdhal dan disepakati oleh 4 mazhab)
- b) Istikharah dengan membaca doa istikharah sahaja terutama bagi yang uzur dan tidak boleh solat
- c) Membaca doa istikharah selepas melakukan solat tertentu seperti solat witir, solat fardhu dan lain lain solat
Allah SWT adalah tempat sebaik-baiknya untuk mengadu. Andainya kita sebagai muslim dan muslimat yang benar-benar beriman kepada-Nya maka Dialah Allah sebagai tempat kita menyerahkan segala urusan dan tindakan samada besar atau kecil, penting atau tidak sesuatu perkara tersebut. Kerana disitulah kita dapat melihat adakah disana terdapat pergantungan hati seorang hamba dengan Tuhannya ataupun tidak. Kerana hanya Allah SWT sahaja yang terbaik untuk menentukan hala tuju kita dalam melakukan sesuatu perkara sedangkan kita tidak mengerti apakah hikmah dan rahsia terhadap setiap perkara yang kita kerjakan
Firman Allah SWT : “…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah : 216)
Berikut adalah cara untuk menunaikan Solat Sunat Istikharah yang ringkas dan padat sebagai rujukan buat mereka yang ingin melaksanakannya. Dikongsikan juga video, dalil dan beberapa perkara penting lain yang berkaitan.
Masa Dan Bilangan Rakaat
- Boleh dilakukan pada siang atau malam, sebaik-baiknya sebelum tidur pada waktu malam dan juga selain waktu diharamkan solat (waktu tahrim)
- Bilangan rakaat boleh dilakukan sebanyak 2 rakaat dan 1 salam atau sehingga 12 rakaat dengan 6 salam (mengikut kemampuan dan tidak terhad)
Lafaz Niat Solat Istikharah
Maksudnya: Sahaja aku (sembahyang / solat) sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala
Rakaat Pertama
- Di mulai dengan lafaz takbiratul ihram dengan menyebut Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati
- Membaca doa iftitah
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah Al- Kafirun atau surah-surah lain
- Rukuk dan Iktidal
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujuk kali kedua
Rakaat Kedua
- Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah Al-Ikhlas atau surah-surah lain
- Rukuk dan Iktidal
- Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua serta membaca tasbih tersebut sebanyak 40 kali:Tasbih Sujud Akhir
Maksudnya: Maha Suci Engkau, tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. - Duduk Tahiyyat Akhir
- Memberi salam
- Membaca doa solat sunat istikharah, Ya Allah aku memohon diberi petunjuk
Doa Solat Istikharah
Bahasa Arab: Allāhumma innī astakhīruka biʿilmika wa astaqdiruka biqudratika, wa asʾaluka min faḍlika (a)l-ʿaẓīm fainnaka taqdiru walā aqdiru wa taʿlamu wala aʿlamu wa anta ʿallāmu (a)l-ghuyūb. Allāhumma, in kunta taʿlamu anna hadha (a)l-amra [sebutkan urusan] khayrun lī fī dīnī wa maʿāshī waʿāqibati amrī faqdurhu lī wa ya (a)s-sirhu lī thumma barik lī fīhi. Wa in kunta taʿlamu anna hadha (a)l-amra sharrun lī fī dīnī wa maʿāshī wa ʿāqibati amri faṣrifhu ʿannī wa (a)ṣrifni ʿanhu waqdir lī(ya) (a)l-khayra haythu kāna thumma arḍīnī bihi.
Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib.
Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya.
Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.
Video Lengkap Tatacara / Panduan Solat Sunat Istikharah
Perkara Penting Sebelum Buat Solat Istikharah
Sebelum melakukan Solat Istikharah, digalakkan juga buat istisyarah dahulu. Istisyarah membawa maksud meminta nasihat. Maknanya sebelum melakukan Solat Istikharah hendaklah seseorang meminta nasihat daripada mereka yang lebih berilmu dan berpengalaman mengenai masalah atau kemusykilan yang sedang dihadapi.
Dalam beberapa situasi penting, Rasulullah SAW juga tidak melakukan Istikharah. Contohnya dalam peperangan Badar, Rasulullah SAWA ingin memilih kawasan yang jauh daripada mata air manakala para sahabat pula mencadangkan agar tempat yang dekat dengan mata air dipilih. Setelah mendengar kepentingan membuat kem berdekatan mata air, Rasulullah terus menerima cadangan sahabat kerana releven dan lebih baik daripada cadangan awal.
Sama seperti peperangan Khandaq, ketika Salman Al-Farisi mencadangkan menggali parit, Rasulullah menerimanya tanpa istikharah kerana cadangan tersebut sememangnya terbaik dalam pertimbangan.
Justeru sebelum melakukan istikharah, eloklah kita berbincang dahulu dengan golongan pakar dalam masalah yang kita hadapi seperti doktor ataupun mereka yang rapat dengan kita seperti keluarga dan kenalan baik. Jika ada pilihan yang terbaik, kemungkinan tidak perlu untuk istikharah. Namun jika masih kurang yakin, boleh melakukan istikharah.
Perkara Penting Mengenai Solat Istikharah
Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu difahami oleh umat Islam dalam melaksanakan Solat Istikharah
- Istikharah tak semestinya dijawab menerusi mimpi
Lazimnya orang kaitkan solat istikharah dengan kedatangan mimpi yang menunjukan petanda kepada jawapan bagi hajat yang ingin diketahui jawapannya. Istikharah dijawab dengan keyakinan yang muncul dalam hati dan diberikan kesenangan ketika mengambil salah satu keputusan. Jika hati semakin serabut dan keputusan juga sukar untuk diambil maka mungkin itu tanda Allah tidak menyukai pilihan yang ingin dibuat - Istikharah bukan untuk soal Jodoh sahaja, malah semua urusan
Kebanyakan umat Islam menganggap Solat Istikharah adalah bagi urusan jodoh sahaja namun bukan begitu. Ianya melibatkan semua jenis pilihan dalam kehidupan termasukan membuat pilihan dalam sambung pelajaran, bekerja, membeli rumah dan sebagainya - Istikharah hanya bagi pilihan yang baik dengan yang baik
Solat istikharah hanya boleh dibuat bagi memilih antara perkara yang baik. Ini bermaksud bagi hal yang sememangnya jelas tidak baik dan berdosa adalah tidak boleh. Jadi jika dah tahu pilihan tersebut akan membawa keburukan dan tidak baik maka terus tinggalkan sahaja
Dalil Solat Sunat Istikharah
Dalil bagi Solat Sunat Istikharah dijelaskan menerusi hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A., dia berkata: Rasulullah S.A.W. pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda nabi S.A.W mengajar kami dalam segala urusan, sepertimana baginda mengajar kami surah dari Al-Quran. Kalau seseorang dari kamu mengkehendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa solat istikharah). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib
Peringatan
Petunjuk tidak semestinya muncul di dalam mimpi, bayangan, tanda dan sebagainya. Allah S.W.T. akan meletakkan sedikit kecenderungan atau gerak rasa dalam hati kita bagi meneruskan sesuatu tindakan atau sebaliknya. Itulah tujuan melakukan solat istikharah untuk meminta petunjuk terbaik untuk diri
Soalan Kerap Ditanya
- Sudah Solat Istikharah namun masih belum mendapat jawapan
Solat Istikharah boleh dilakukan beberapa kali sehingga yakin dengan keputusan yang ingin dibuat. Sekiranya istikharah pertama tidak memberikan keyakinan maka teruskan lagi untuk Solat Istikharah pada malam seterusnya. - Bolehkah Solat Sunat Istikharah bila-bila masa?
Boleh, kecuali dalam waktu yang diharamkan solat. Berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari, maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah melarang dari melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat asar sehingga terbenamnya matahari.” - Apakah hukum lakukan istikharah dengan membuka Al-Quran secara rawak?
Tidak ada dalam dalil dan nas khusus serta sahih yang menceritakan tentangnya. Namun berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie, hukumnya adalah makruh. Justeru ikutlah seperti cara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. - Sekiranya sedang uzur dan tidak boleh Solat bagaimana?
Jika sesorang itu tidak dapat mengerjakan solat kerana berada dalam keadaan haid, maka beliau diperbolehkan untuk terus membaca Doa Istikharah. Ini kerana, seorang wanita yang tidak solat kerana uzur shar’ie doanya tetap sah walaupun tidak diiringi dengan solat.
غ ي , untuk melakukan solat istikharah, memberikan petunjuk, gerak hati ,ayat al quran, engkau ya allah, maha berkuasa, ketentuanmu dan aku memohon, selepas solat, memilih mana yang baik, waktu solat, maha agung, memilih jodoh, الل ه ع ن ي و اص ر ف ن ي ع ن ه و اق د ر ل ي,
Semak Kembali Artikel
- Apakah itu Istikharah?
- Panduan Menunaikan Sembahyang / Solat Sunat Istikharah
- Masa Dan Bilangan Rakaat
- Lafaz Niat Solat Istikharah
- Tatacara Menunaikan Solat Sunat Istikharah
- Video Lengkap Tatacara / Panduan Solat Sunat Istikharah
- Perkara Penting Sebelum Buat Solat Istikharah
- Perkara Penting Mengenai Solat Istikharah