MYsumber dimaklumkan bahawa Calon PT3 pada tahun 2017 dikehendaki melaksanakan kerja kursus (tugasan) Sejarah iaitu membuat kajian tentang satu Peristiwa Bersejarah di tempat tinggal calon
Atas permintaan pelajar (calon) PT3 bagi tahun 2017 yang meminta penulis di MYsumber membantu memberikan maklumat berkaitan dengan tugasan ini, penulis akan sedaya upaya memberikan tips dan panduan yang terbaik
Jawapan Contoh Tugasan PT3 Sejarah 2017 Peristiwa Bersejarah
Hasil laporan yang terbaik mestilah menepati kehendak tugasan diberikan yang merangkumi Tajuk Kajian, Nama Penulis, Penghargaan (jika perlu), Isi Kandungan, Objektif Kajian, Kaedah Kajian, Hasil Kajian, Rumusan, Lampiran Berkaitan dan Sumber Rujukan
Petikan Tugasan |
Peringatan |
Calon dinasihatkan memastikan ketulenan tugasan dan tidak memplagiat dengan mengambil atau meniru tugasan (hasil kerja) sepenuhnya daripada mana-mana pihak, dalam erti kata lain penghasilan tugasan yang lengkap adalah usaha calon sendiri |
Calon mengambil petikan atau grafik daripada sumber lain hendaklah menyatakan sumber rujukannya dengan jelas |
Sekiranya calon didapati telah melakukan plagiat, calon berkemungkinan digagalkan atau diberikan gred yang tidak memuaskan |
PANDUAN DAN JAWAPAN CONTOH KERJA KURSUS PT3 SEJARAH 2017 PERISTIWA BERSEJARAH
Berikut adalah panduan, contoh dan tips bagi tugasan Sejarah PT3 tahun 2017 berdasarkan kehendak tugasan yang diberikan
Sila ambil perhatian terhadap petikan tugasan iaitu penerangan konsep peristiwa bersejarah yang telah diberikan. Fahami dengan baik bagi mengelakkan calon membuat kajian peristiwa yang tersasar daripada permintaan kehendak tugasan / soalan yang sebenar. Sila dapatkan penerangan lanjut berkaitan perkara ini dengan guru yang terbabit sahaja. |
1. Calon boleh memilih satu peristiwa bersejarah terdapat di tempat tinggal (negeri) calon yang kesannya masih terpahat / bermakna kepada masyarakat setempat atau negara kita |
2. Namun, tugasan berkaitan kandungan aspek peristiwa bersejarah ini dan susunan format adalah tertakluk kepada kehendak tugasan dan guru masing-masing. Calon hendaklah mengikut serta mendapatkan arahan dan bimbingan daripada guru |
3. Panduan, contoh dan tips yang disertakan oleh MYsumber adalah sebagai rujukan tambahan sahaja bagi membantu calon dalam melaksanakan laporan tugasan |
Tugasan |
PERANCANGAN
Tajuk Kajian / Menentukan Peristiwa Bersejarah Sebagai Kajian |
Menentukan / menyatakan tajuk kajian yang menepati kehendak tugasan selaras dengan isi kandungan laporan |
Bagi menentukan sesuatu peristiwa sebagai pilihan kajian serta tajuk kajian ia mungkin merumitkan bagi sesetengah calon dan untuk memudahkannya, calon hendaklah memahami maksud sebenar Peristiwa Bersejarah. MYsumber jelaskan secara ringkas seperti berikut:- |
Peristiwa Bersejarah adalah kejadian-kejadian / perkara-perkara / insiden / peristiwa penting (besar) yang telah berlaku pada masa lalu yang mempunyai fakta tepat dan bermakna kepada masyarakat setempat atau negara serta dapat memberikan iktibar (pengajaran) kepada kehidupan pada masa kini. |
Selidik / kenalpasti kejadian / peristiwa apakah yang telah berlaku di kawasan anda (negeri) yang meninggalkan pelbagai kesan. Hasil daripada penyelidikan tersebut anda akan dapat mengetahui peristiwa bersejarah yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai kajian serta menentukan tajuk kajian mengikut kreativiti dan kehendak tugasan yang menggambarkan hasil laporan kajian itu secara kasar |
Peristiwa Bersejarah yang menjadi pilihan MYsumber untuk dijadikan sebagai contoh adalah seperti berikut:- |
Insiden Pencerobohan Pantai Timur Sabah (Lahad Datu), Sejarah Hitam Malaysia |
Nama Penulis |
Butiran Penulis |
Tajuk Kajian Dan Butiran Penulis
(Sebagai contoh sahaja)
INSIDEN PENCEROBOHAN PANTAI TIMUR SABAH (LAHAD DATU),
SEJARAH HITAM MALAYSIA
Ditulis Oleh : _______________
Tingkatan : _______________
No. Kad Pengenalan :____________
Angka Giliran :_______________
Contoh Jadual Kerja / Senarai Semakan | |||
Bil | Tarikh | Aktiviti | Catatan (Jika Ada) |
1 | Menerima taklimat daripada guru mata pelajaran Sejarah berkaitan dengan tajuk tugasan dan huraian berkaitan dengannya di sekolah | ||
2 | Membuat perbincangan dengan guru / rakan sekelas berkaitan dengan pemilihan tajuk . Cuba mengenalpasti Peristiwa Bersejarah yang sesuai untuk djadikan bahan kajian | ||
3 | Membuat rujukan awal berkaitan dengan tajuk yang diberi di internet / laman web tertentu | ||
4 | Mengenalpasti cara penulisan tugasan dengan lebih lanjut | ||
5 | Menentukan tajuk tugasan yang ingin dilakukan | ||
6 | Membuat rujukan lanjut berkaitan dengan tajuk tugasan menerusi lawatan peribadi ke lokasi peristiwa bersejarah yang ingin dikaji | ||
7 | Mengenalpasti maklumat yang diperlukan bagi memudahkan kerja penulisan tugasan | ||
8 | Menemuramah orang sumber berkaitan dengan tajuk kajian mengikut kehendak soalan kajian | ||
9 | Mengumpul bahan rujukan untuk persiapan menulis tugasan | ||
10 | Memulakan penulisan dan kerangka kerja di sekolah | ||
11 | Menulis tugasan yang diberi mengikut format atau kehendak tugasan tersebut di dalam kelas mengikut tarikh yang diberi oleh guru | ||
12 | Menyemak tugasan | ||
13 | Menghantar tugasan |
Objektif Kajian |
Objektif kajian adalah sesuatu yang ingin dicapai melalui kajian yang dilakukan. Objektif kajian juga merupakan perkara yang penting dalam suatu bentuk kajian |
Contoh Huraian Objektif Kajian
Saya menjalankan kajian tentang satu Peristiwa Bersejarah di tempat tinggal saya adalah bagi melaksanakan tugasan PT3 Sejarah, selaras dengan kehendak tugasan tersebut dan hasilnya saya telah mencapai objektif yang dikehendaki seperti berikut:-
1. Dapat meningkatkan semangat Patriotisme dalam diri saya dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang semangat patriotik yang semakin luntur di negara kita pada masa ini.
2. Dapat menambah pengetahuan mengenai peristiwa bersejarah di tempat tinggal saya selain menghadirkan perasaan bangga terhadap perjuangan mereka yang terlibat dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara dan memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.
3. Menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya dan agama kerana ia adalah aset atau kelebihan penting yang patut dibanggakan dan terus dipertahankan.
Kaedah Kajian |
Kaedah Kajian merupakan suatu usaha yang dilakukan samada secara individu atau berkumpulan bagi menyelesaikan sesuatu tugasan yang ingin di kaji |
Jumlah Kaedah Kajian yang perlu disertakan adalah bergantung kepada apakah kaedah kajian yang telah digunakan / dijalankan bagi menyiapkan sepenuhnya tugasan / kajian calon |
Contoh Huraian Kaedah Kajian
Terdapat enam (6) kaedah kajian telah dijalankan oleh saya bagi memastikan tugasan kajian Peristiwa Bersejarah di tempat tinggal saya disiapkan dengan sempurna dan bersistematik berdasarkan fakta yang tepat.
1) Analisis Dokumen
Saya telah merujuk kepada dokumen / laporan berita dari…………………………….. bagi memastikan fakta yang digunakan dalam kajian ini adalah tepat selain dapat mengelakkan kebenaran terhadap peristiwa bersejarah ini diragui.
2) Penyelidikan
Saya bersama rakan telah mengunjungi perpustakaan di……………… bagi menjalankan penyelidikan terhadap sumber-sumber arkib yang terdapat di perpustakaan. Sumber-sumber arkib itu adalah koleksi buku ilmiah, petikan akhbar, majalah dan sebagainya untuk menguatkan lagi fakta dalam kajian saya.
3) Internet
Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini. Internet adalah satu gerbang limpahan pelbagai sumber bagi mendapatkan maklumat. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu Portal Rasmi……………….., saya turut dapat memuat-turun bahan berkaitan kajian / tugasan ini untuk dijadikan rujukan tambahan.
4) Bimbingan Guru
Tanpa bimbingan guru, sudah tentu saya tidak akan berjaya melaksanakan tugasan kajian yang telah diberikan. Oleh itu, saya mendapat bimbingan dari guru iaitu Tuan / Puan……………………….
5) Temubual
Peristiwa Bersejarah dalam kajian saya ini meninggalkan kesan yang bermakna terhadap masyarakat di tempat tinggal saya. Dengan kaedah temubual bersama orang sumber iaitu Encik / Puan………………., saya lebih memahami kesan peristiwa bersejarah ini terhadap masyarakat setempat.
6) Melawat (Walk-In) Lokasi Peristiwa Bersejarah
Saya telah melawat lokasi peristiwa bersejarah pada tarikh….. masa……. serta mengambil foto bagi menggambarkan kesan tinggalan yang masih ada akibat daripada peristiwa yang berlaku dan ia turut dilampirkan dalam kajian ini.
Proses Awal |
Bagi proses awal, calon perlu mengumpul maklumat yang tepat dengan sebaik mungkin mengikut tugasan peristiwa bersejarah yang telah ditentukan. Maklumat itu dari sumber rujukan primer, sekunder ataupun pihak ketiga (pihak ketiga – contoh individu yang ditemubual) |
Kerangka Kasar Penulisan | ||
Tujuan membuat kerangka kasar adalah untuk memudahkan calon menulis / mengolah laporan. Kerangka kasar akan dibuat selepas calon menjalankan proses awal tugasan iaitu mengumpul maklumat berdasarkan sumber rujukan. Perkara yang ada dalam kerangka kasar adalah senarai isi-isi penting laporan Peristiwa Bersejarah yang dinyatakan secara ringkas untuk perkara seperti berikut:- | ||
1.Pengenalan | 2. Faktor Berlaku | 3. Kronologi |
4. Kesan / Impak | 5. Iktibar | 6. Rumusan |
7. Sumber Rujukan | ||
Isi-isi penting bagi setiap perkara di atas akan membantu calon membuat huraian penuh dalam bentuk penulisan bagi laporan tersebut. Lebih mudah hendak faham kerangka kasar ibarat nota kecil | ||
Contoh paling mudah bagi penyediaan / susunan kerangka kasar penulisan seperti dibawah | ||
Bentuk kerangka kasar penulisan ikut kreativiti masing-masing. Asalkan maklumat isi-isi penting yang tepat dan realistik bagi setiap perkara tugasan itu ada. Itu yang paling penting kerana ia bukti kesungguhan calon dalam melaksanakan tugasan diberikan |
Isi Kandungan |
Setelah calon membuat rujukan lanjut berkaitan dengan tajuk tugasan menerusi internet, buku, majalah, akhbar, jurnal atau melawat lokasi kajian bagi mendapatkan maklumat dan fakta yang sahih / tepat untuk bahan laporan |
Berikut adalah aspek-aspek yang perlu ada dalam tugasan / laporan |
(i) Pengenalan – menjelaskan latar belakang peristiwa bersejarah di tempat anda |
(ii) Menerangkan faktor berlakunya peristiwa bersejarah |
(iii) Menerangkan peristiwa bersejarah secara kronologi Maksud Kronologi ialah susunan peristiwa (kejadian) menurut masa berlakunya peristiwa berkenaan |
(iv) Menilai kesan / impak peristiwa bersejarah terhadap diri sendiri, masyarakat setempat dan negara |
(v) Menjelaskan iktibar yang diperolehi daripada peristiwa bersejarah |
PELAPORAN
(i) Pengenalan – menjelaskan latar belakang peristiwa bersejarah di tempat anda | |
Definisi latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara (hal, kejadian / peristiwa). Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung | |
Oleh itu, calon perlu menjelaskan perkara asas tentang Peristiwa Bersejarah sebagai Pengenalan bagi memberikan gambaran keseluruhan kandungan kajian tersebut | |
1. Tahun / tarikh / hari / masa yang berlaku | |
2. Lokasi / tempat peristiwa | |
3. Pihak / individu yang terlibat | |
MYsumber berikan contoh pengenalan bagi tajuk Insiden Pencerobohan Pantai Timur Sabah (Lahad Datu), Sejarah Hitam Malaysia dengan menggunakan isi penting (point) di atas |
Contoh Penulisan Pengenalan
Tanggal 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan wira tanah air gugur mempertahankannya.
Pada tarikh itu bumi Lahad Datu dan Semporna, Sabah, bermandi darah apabila senjata api kumpulan penceroboh dari selatan Filipina memuntahkan peluru menembusi tubuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mereka memburu pengganas yang mendakwa daripada kesultanan Sulu.
Kumpulan itu dikenal pasti pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa dia waris sah kesultanan Sulu, menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 12 Feb bagi merampas kembali wilayah mereka di pantai timur Sabah tersebut.
Pencerobohan kumpulan pengganas itu turut mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sebanyak 68 anggota militan maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara.
(ii) Menerangkan faktor berlakunya peristiwa bersejarah |
Maksud faktor ialah punca yang menyebabkan sesuatu perkara / kejadian / insiden / peristiwa itu berlaku |
Bagaimana Hendak Terangkan Faktor Berlakunya Peristiwa Bersejarah? |
Cari maklumat berkaitan punca yang menyebabkan sesuatu perkara / kejadian / insiden / peristiwa itu berlaku (peristiwa bersejarah pilihan calon masing-masing). Contoh yang diberikan adalah berdasarkan peristiwa pilihan MYsumber |
Faktor Pencerobohan Lahad Datu di Pantai Timur Sabah Oleh Kumpulan Pengganas Sulu
1. Mengikut sumber dari Al Jazeera News, kehadiran pengganas Sulu di Lahad Datu adalah disebabkan mereka ingin menuntut pengiktirafan dan hak untuk selama-lamanya tinggal di Sabah.
2. Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram mendakwa Sabah adalah milik Kesultanan Sulu kerana Kerajaan Malaysia membayar sewa bagi wilayah itu, disebabkan itu Sultan Jamalul Kiram menganggap ia adalah tanda Sabah milik Kesultanan Sulu.
(iii) Menerangkan peristiwa bersejarah secara kronologi |
Maksud Kronologi ialah susunan peristiwa (kejadian) menurut masa berlakunya peristiwa berkenaan |
Kronologi memudahkan penyampaian sesuatu laporan atau penerangan kerana maklumat tentang peristiwa yang terjadi itu telah diringkaskan mengikut susunan perkara-perkara permulaan hingga akhir tentang peristiwa tersebut berlaku dengan bersertakan tarikh / masa. Contoh format kronologi seperti lampiran di bawah |
Bagaimana Cara Mendapatkan Isi Penting / Maklumat Kronologi Peristiwa Sejarah Bagi Tugasan PT3? |
Isi-isi penting itu boleh diambil dalam Pengenalan dan Faktor Berlakunya Peristiwa Bersejarah atau hasil daripada pengumpulan maklumat yang telah dibuat dan kemudian maklumat tersebut perlu diringkaskan dan disertakan tarikh / masa ia berlaku (diterangkan semula peristiwa bersejarah tersebut tetapi penerangan secara kronologi) |
Sekiranya kajian calon mempunyai banyak sangat rentetan / perkara, sudah tentu kronologi akan menjadi tersangat panjang. Cuba ringkaskan lagi sebaik mungkin (guna maklumat terpenting sahaja) namun ia masih menggambarkan tentang keseluruhan peristiwa itu |
Dua contoh laporan peristiwa yang sama secara kronologi bermula dengan awal dan akhir peristiwa, sila rujuk pada judul pautan di bawah |
Kronologi Penceroboh Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu |
Kronologi Pencerobohan Pengganas Sulu |
(iv) Menilai kesan / impak peristiwa bersejarah terhadap diri sendiri, masyarakat setempat dan negara |
Membuat penilaian atau menilai kesan / impak peristiwa bersejarah terhadap diri sendiri, masyarakat setempat dan negara hendaklah selaras dengan tajuk / kandungan hasil laporan kajian |
Sila semak semula kandungan laporan bagi mendapatkan penilaian kesan peristiwa bersejarah itu dengan lebih tepat |
Contoh yang diberikan adalah mengikut tajuk tugasan yang dipilih oleh MYsumber seperti dinyatakan |
1. Diri Sendiri |
Membuatkan saya lebih menghayati semangat Patriotisme dan Cintakan Negara dalam menjaga kedaulatan negara |
2. Masyarakat Setempat |
i. Jika sebelum ini, semangat kerjasama dalam masyarakat di tempat tinggal saya dilihat semakin longgar berikutan masing-masing sibuk dengan hal sendiri dan mementingkan kehidupan sendiri. Tetapi selepas peristiwa bersejarah ini masyarakat kini mengamalkan semangat berkerjasama kukuhkan perpaduan sekaligus mewujudkan suasana yang aman dan tenteram dalam masyarakat yang tidak mampu digugat oleh anasir jahat |
3. Negara |
i. Kerajaan membelanjakan ratusan juta ringgit untuk meningkatkan kawalan keselamatan negara termasuk pembelian aset keselamatan |
ii. Mengukuhkan koordinasi bendung jenayah rentas sempadan bagi memastikan keberkesanan usaha memelihara ketenteraman di kawasan terbabit |
(v) Menjelaskan iktibar yang diperolehi daripada peristiwa bersejarah |
Untuk aspek ini, ia memerlukan calon mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran berfikir bagi menjelaskan iktibar yang telah diperolehi daripada kajian peristiwa bersejarah dibuat mengikut tajuk / bahan kajian masing-masing |
Contoh Penulisan Iktibar Daripada Peristiwa Bersejarah
Peristiwa Pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah.
Peristiwa Bersejarah yang berlaku ini telah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara, yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, tetapi juga akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara.
“Sesungguhnya kekejaman pengganas terhadap anggota keselamatan kita tidak mungkin akan kita lupakan sampai bila-bila”.
Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan.
Peristiwa Bersejarah ini memberi pengajaran kepada semua tentang pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan.
Tanpa anggota keselamatan yang menjaga keamanan negara sudah pasti negara kita tidak akan menikmati keamanan seperti sekarang ini.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya cuba untuk memperkecilkan sumbangan anggota keselamatan dan seterusnya daripada peristiwa bersejarah ini, ia mengingatkan supaya kita belajar mengenang budi.
Peristiwa Bersejarah telah mengajar kita, bahawa keamanan dan kestabilan negara yang sedang dinikmati pada hari ini tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada malah kita harus lebih bersiap-siaga terhadap apa jua bentuk ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.
Rumusan |
Merumuskan dengan menghuraikan hasil keseluruhan tugasan atau kajian |
Rumusan bergantung kepada tajuk kajian tugasan yang dibuat oleh calon. Semak semula kandungan peristiwa bersejarah yang dibuat itu dengan baik dan pastinya terdapat nilai-nilai / unsur-unsur / kesan / iktibar yang boleh diketengahkan. Seterusnya menggabungkan ia sebagai satu rumusan disertakan dengan pengetahuan dan harapan yang relevan berdasarkan tugasan kajian tersebut |
MYsumber buatkan contoh rumusan peristiwa bersejarah secara umum merangkumi aspek, nilai-nilai / unsur-unsur / kesan / iktibar serta pengetahuan dan harapan yang relevan |
Contoh Penulisan Rumusan
Peristiwa bersejarah adalah satu kejadian mempunyai fakta primer yang tidak wajar diselewengkan kebenarannya kerana ia mempunyai fakta yang tepat dan bermakna kepada masyarakat berikutan kesahihannya dijelaskan dengan bukti-bukti penyelidikan, kesan tinggalan serta dibandingkan dengan sumber-sumber sekunder, mahupun dari sumber pihak ketiga.
Kesan dan Iktibar daripada perisitiwa bersejarah mengajar kita menghargai pengorbanan tokoh dan pejuang kemerdekaan, pengorbanan pasukan penyelamat yang bertungkus lumus dengan misi mencari dan menyelamat mangsa dalam sesuatu tragedi.
Oleh itu, Kita seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap peristiwa bersejarah yang telah berlaku bahawa keamanan, kemakmuran serta perpaduan hanya dapat dicapai jika semua rakyat bersatu padu , bertolak ansur, hormat menghormati antara sesama anggota masyarakat.
Saya menyeru dan berharap agar semua rakyat negara ini akan sentiasa mematuhi undang-undang mahupun peraturan dilaksanakan oleh kerajaan dan tidak terpengaruh dengan anasir luar serta menghargai jasa tokoh, pasukan keselamatan yang telah banyak berjuang bagi mempertahankan kedaulatan dan menjaga keamanan negara.
Peristiwa bersejarah yang telah berlaku menyedarkan dan mengajar kita apa erti sebuah pengorbanan. Dengan ini, saya dapat merumuskan bahawa “Kemakmuran negara dan keamanan kehidupan penghuninya memang tidak ada galang gantinya”.
Sumber Rujukan |
Menyenaraikan secara ringkas bahan rujukan calon seperti diperolehi dari artikel di internet, buku teks, akhbar, majalah ataupun orang sumber, antaranya seperti berikut |
Buku dan Journal: Sertakan nama penulis, tajuk / judul tahun dan terbitan |
Ensiklopedia: Sertakan tajuk / judul dan tahun |
Akhbar: Sertakan nama akhbar tahun dan halaman / mukasurat |
Orang Sumber: Sertakan nama individu / pihak dan alamat tempat tinggal |
Internet (laman web): Nyatakan pautan (link) penuh dan pastikan laman web itu berautoriti (sumber dipercayai) contohnya Portal Rasmi Arkib Negara Malaysia Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia |
Panduan Cara Buat Laporan / Petikan (Skrip) Temubual Bersama Orang Sumber |
Sebelum berjumpa orang sumber, pastikan calon menyiapkan skrip soalan yang mahu ditanya berkaitan tajuk tugasan bagi memudahkan sesi temuramah tersebut. Sesi temuramah akan menjadi bahan bukti aktiviti mencari maklumat yang dijalankan serta dilampirkan dalam tugasan |
Calon boleh sertakan terus maklumat sesi temuramah berbentuk dialog (soal-jawab) atau calon boleh mengolah semula dalam bentuk laporan. (Sila dapatkan penerangan lanjut daripada guru). Sebagai contoh, MYsumber berikan laporan temubual dalam bentuk cetusan idea sahaja |
Contoh Penulisan Laporan Tembual Bersama Orang Sumber
Saya telah menemubual Encik / Puan……………………………. . Beliau tinggal di……………………….. . secara kebetulan mempunyai maklumat dengan tugasan yang dijalankan oleh saya iaitu Peristiwa Bersejarah………………………….
Hasil daripada sesi temubual tersebut, beliau telah menceritakan serba sedikit berhubung dengan Perisitwa Bersejarah……………….. yang berlaku di tempat tinggal saya.
Melalui penerangan itu, Peristiwa Bersejarah……………….. berlaku pada…………….berpunca daripada…………………………
Maklumat yang diperolehi daripada Encik / Puan……………….. membantu saya membuat rujukan tambahan dalam menyiapkan laporan bagi tugasan peristiwa bersejarah ini.
Senarai Rujukan Berfakta Peristiwa Bersejarah Mengikut Negeri Di Malaysia
Negeri | Negeri |
Perlis Bendera British, Union Jack Diturunkan Di Perlis | Selangor Tragedi Highland Towers Dan Kronologi |
Kedah Senarai Peristiwa Bersejarah Di Kedah | Negeri Sembilan Perbalahan Di Sungai Ujong |
Pulau Pinang Pembinaan Jambatan P.Pinang | Melaka Penentangan Orang Melayu Ke Atas Portugis |
Perak Penjanjian Pangkor | Johor Peristiwa Bukit Kepong |
Kuala Lumpur Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu | Pahang Kes Pembunuhan Mona Fandey |
Putrajaya Pengisytiharan Putrajaya | Terengganu Penemuan Batu Bersurat Hulu Terengganu |
Labuan | Kelantan Peristiwa Banjir Besar |
Sarawak Hari Sarawak Merdeka Daripada Penjajah | Sabah Pencerobohan Lahad Datu |
Pautan akan disertakan sekiranya MYsumber menjumpai maklumat berkaitan di internet. (Sila klik pada nama negeri) |