Ringkasan Intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) PRU14

Pilihan Raya

Pilihan Raya

Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam langkah untuk mendapat mandat baru dalam memerintah negara telah melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14) tahun 2018 pada 7 April 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil dengan tema “BERSAMA BN HEBATKAN NEGARAKU”

Manifesto yang dibentangkan merupakan AkuJanji kepada rakyat yang akan dilaksanakan sepenuhnya sekiranya BN kembali mendapat mandat rakyat untuk memerintah semula negara

Antara lain Manifesto BN mengandungi 14 teras utama beserta 300 inisiatif dan merupakan manifesto yang menyentuh semua aspek kesejahteraan hidup masyarakat dan menjamin tiada siapa yang akan dipinggirkan bagi menghadapi pelbagai cabaran, dengan mengambil kira keperluan semua negeri untuk tempoh lima tahun akan datang

Ringkasan Intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) Untuk Pilihan Raya Umum (PRU14)

Berikut adalah 14 teras utama yang terkandung dalam Manifesto BN PRU14 dengan ringkasan Aku Janji:

1. Ekonomi Keperluan Rakyat

Keutamaan diberikan kepada ‘ekonomi keperluan rakyat’ dalam usaha BN menangani peningkatan kos sara hidup, meningkatkan pendapatan isi rumah, meluaskan peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, menambah bilangan rumah mampu milik, memperbanyak latihan kemahiran dan keusahawanan, yang secara dasarnya dirancang berdasarkan pengalaman seharian rakyat

  • 32 Inisiatif

2. Kemampanan Dan Kemakmuran Ekonomi Negara

Ekonomi Malaysia adalah agenda penting dan mustahak untuk lima tahun yang akan datang. Mandat dan kepercayaan rakyat akan ditatang dengan penuh waspada dan hati-hati. Kesejahteraan rakyat akan hanya mampu kerajaan ini zahirkan melalui perencanaan ekonomi yang jelas, tuntas dan beriltizam tinggi.

  • 26 Inisiatif

3. Perumahan Keperluan Rakyat

Agar setiap keluarga mampu tinggal dalam rumah yang selesa, sama ada secara milik sendiri atau menyewa. Sejak 2011, BN telah memperkenalkan pelbagai program dan skim bagi menjayakan hasrat ini seperti, Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Rumah Idaman Rakyat, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Skim Rumah Pertamaku dan skim MyDeposit

  • 22 Inisiatif

Akujanji lain termasuk menyentuh mengenai modal insan dan pendidikan, keselamatan rakyat dan menjayakan wanita

4. Pemacuan Modal Insan, Kecemerlangan Pendidikan

Prakarsa pembangunan modal insan dan pendidikan di Malaysia perlu dirangka sesuai dengan tuntutan masa dan zaman. Malaysia memerlukan pelan yang holistik dalam membangun potensi anak sekecil 5 hingga 6 tahun, mewibawakan sistem pendidikan rendah dan menengah, memperkasa TVET dan beriltizam mendaya ekosistem universiti yang dinamik, bersesuaian dengan keperluan Revolusi Industri 4.0

  • 26 Inisiatif

5. Keselamatan Rakyat Keutamaan Kami

Iltizam kami adalah untuk rakyat mampu tidur lena setiap malam tanpa merasa bimbang tentang ancaman keselamatan. Kami akan terus memelihara nikmat kemerdekaan dan keselamatan yang kita kecapi selama ini dengan meningkatkan lagi usaha menangani sebarang ancaman mendatang

  • 42 Inisiatif

6. Membahagia Dan Menjayakan Wanita Negara

Wanita Malaysia adalah aset penting negara. Pembangunan, kesejahteraan dan kebahagiaan wanita menjadi agenda utama Kerajaan Barisan Nasional. Istimewanya wanita, dapat merebut peluang yang digariskan di dalam Manifesto Barisan Nasional serta diangkat secara khusus oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam merencana agenda wanita negara. Kerajaan Barisan Nasional akan terus menyediakan dan menyempurnakan ekosistem mesra wanita dan keluarga dalam menentukan wanita Malaysia sebagai insan, ibu, isteri, anak mahupun pemimpin yang bahagia dan berjaya

  • 25 Inisiatif

Berikut adalah AkuJanji untuk generasi muda, warga emas dan orang kelainan upaya dan pembinaan negara bangsa

7. Generasi Muda Pewaris Masa Depan

Antara objektif awal program Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah untuk membuka seluas mungkin medan buat generasi muda melakar masa hadapan yang mereka impikan. Pembangunan dan penambahbaikan infra khusus untuk kelompok belia dan remaja akan diperluas ke seluruh negara. Inilah peneraju Malaysia untuk melangkah ke era Revolusi Industri 4.0 sebagai kumpulan yang progresif, berwibawa dan bersedia untuk mengibar panji Malaysia di pentas dunia!

  • 26 Inisiatif

8. Kesejahteraan Warga Emas Dan Kelainan Upaya

Komitmen Kerajaan dalam memastikan kesejahteraan warga emas dan warga kelainan upaya akan terus dipertingkat. Akses pelajar kelainan upaya kepada sistem pendidikan seperti Permata Kurnia akan diperluas ke seluruh negara. Pelbagai insentif disediakan kepada syarikat yang secara sukarela memberi peluang pekerjaan kepada warga kelainan upaya. Keluarga yang mempunyai anak kelainan upaya seperti autisme akan dibantu dengan program  intervensi di rumah yang bersesuaian. Kemajuan teknologi akan digunakan sepenuhnya dalam memastikan intervensi awal dapat diberikan kepada keluarga berkenaan

  • 6 Inisiatif

9. Memperkukuhkan Pembinaan Negara Bangsa

BN telah berusaha membina negara bangsa yang melambangkan ketamadunan ilmu dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Objektif ini direalisasikan dengan membentuk fokus kepada soal kebajikan rakyat, kesukarelawanan, perpaduan antara kaum dan keadilan untuk semua

  • 12 Inisiatif

Tidak dilupakan AkuJanji berkaitan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat, infra rakyat, agenda Bumiputera dan kesyumulan Islam

10. Mengutama Kesejahteraan Sosial Dan lualiti Hidup Rakyat

Kesejahteraan hidup warga Malaysia adalah paksi terpenting di dalam strategi pembangunan negara. Kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat perlu dilihat semula dengan lebih holistik. Bidang tumpuan akan diperluas sesuai dengan keperluan rakyat. Kesejahteraan hidup adalah konsep yang cukup luas, merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti ekonomi, psikologi dan sosial. Ia merangkumi aspek seperti kebudayaan, alam sekitar, keharmonian keluarga, tadbir urus, kesihatan, perumahan, pengagihan pendapatan, keselamatan awam, penyertaan sosial dan persekitaran kerja

  • 34 Inisiatif

11.Membina Infrarakyat Dan Meningkatkan Kesalinghubungan

Sejak beberapa tahun lalu BN telah membuat perubahan penting dalam falsafah pembangunan negara. Jika sebelum ini pembangunan negara bercorak pemusatan di bandar-bandar utama pantai barat dan kemudiannya melebar ke kawasan sekeliling, kini pembangunan negara bergerak setara dari Perlis sampailah ke Sabah. BN juga tidak melupakan projek infra keperluan rakyat seperti jalan kampung, jambatan, lampu jalan dan projek pembentungan. Projek-projek ini mungkin kecil kepada pertumbuhan ekonomi tetapi amat bermakna dalam mensejahterakan rakyat

  • 52 Inisiatif

12. Memperkukuh Agenda Bumiputera Dan Mempertahan Kesyumulan Islam

Barisan Nasional merupakan sebuah perikatan politik yang meraikan kepelbagaian kaum, etnik dan agama. Walau demikian, kami tetap menegaskan bahawa asas pembentukan negara ini yang memberi tempat istimewa kepada Bumiputera dan orang Islam, akan terus diperkasa tanpa menzalimi kaum-kaum lain

  • 16 Inisiatif

AkuJanji tadbir urus serta merapatkan jurang adalah seperti berikut:

13. Tadbir Urus Yang Baik Dan Penyertaan Rakyat

Barisan Nasional percaya penyertaan rakyat dalam membantu Kerajaan membuat keputusan adalah mustahak, memenuhi kehendak masyarakat madani dan konsep Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbu Ghafur

  • 11 Inisiatif

14. Meraikan Perbezaan Merapatkan Jurang

Kepelbagaian etnik, kepercayaan dan budaya telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik. Sejak Merdeka sehingga ke hari ini, Barisan Nasional sentiasa percaya kepada kerjasama dan keharmonian antara kaum, agama dan negeri-negeri di seluruh negara. Dari Sabah, Sarawak sehinggalah ke Semenanjung, kami percaya keadilan sosial, ekonomi dan pembangunan akan mengeratkan hubungan sesama kita. Atas semangat yang sama, kami telah melakukan pelbagai inisiatif untuk merapatkan jurang ekonomi demi mengutuhkan pembangunan keharmonian rakyat berbilang kaum, agama dan rentas geografi

  • 11 Inisiatif

Muat Turun Manifesto BN Lengkap

Untuk memuat turun atau download manifesto yang lengkap, sila klik pautan muat turun yang disertakan di bawah

 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan