Baru-baru ini, penularan wabak influenza A kian hangat diperkatakan berikutan tersebarnya gejala penyakit ini di serata negara. Terdapat banyak laporan melibatkan jangkitan influenza berlaku di beberapa buah negeri seluruh Malaysia. Antaranya yang terkini melibatkan 89 murid dari lapan daerah di negeri Johor disyaki dijangkiti virus influenza. Di Perak pula, seramai 37 pelajar telah disahkan positif Influenza A setakat 14 Januari 2020
Perkara ini amat membimbangkan bukan sahaja pesakit yang telah terkena virus, malah orang sekelilingnya. Ini kerana virus influenza ini boleh merebak dan menjangkiti manusia malah juga haiwan (influenza A). Virus influenza dengan mudahnya boleh tersebar melalui titisan cecair dari mulut atau hidung apabila seseorang sedang bercakap, batuk ataupun bersin. Justeru virus akan terus masuk ke dalam badan melalui saluran pernafasan manusia. Ianya lebih mudah merebak di kawasan tertutup seperti sekolah dan sebagainya
Simptom yang dihadapi oleh pesakit influenza dengan demam selsema biasa adalah berbeza walaupun hampir sama. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, influenza akan menyebabkan gejala dan tanda-tanda yang lebih teruk daripada demam selsema biasa sehingga boleh menyebabkan komplikasi yang mampu mengancam nyawa seseorang. Perbandingan antara tanda atau simptom influenza dengan demam selsema biasa akan dikongsikan di bawah
Terdapat banyak tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada tertularnya penyakit influenza ini ke tahap yang lebih membimbangkan. Antaranya perlu bermula dengan individu itu sendiri seperti menutup hidung dan mulut sekiranya bersin atau batuk, pakai penutup muka (mask) dan kurangkan mengunjungi tempat awam. Pihak kerajaan turut berperanaan dalam hal ini dengan memberikan kesedaran kepada kepada orang ramai mengenai wabak ini serta menutup sekolah yang telah dikhuatiri dijangkiti virus influenza bagi mengelakkan penularan
Simptom Virus Influenza A Dan Cara Mencegah Serta Rawatan Terbaik
Berikut MYsumber kongsikan maklumat penting mengenai influenza seperti definisi, kategori, tanda atau simptom, cara mencegah atau mendapatkan rawatan influenza buat rujukan semua
Definisi Influenza
a. Influenza atau turut dikenali sebagai flu adalah sejenis penyakit yang mudah merebak dan menjangkiti saluran penafasan (hidung, tekak, dan paru-paru)
b. Ianya merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada individu lain menerusi titisan salur pernafasan (respiratory droplets) ketika bercakap, batuk atau bersin. Titisan tersebut boleh mencemari permukaan dan mengakibatkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan berkenaan.
c. Wabak ini akan menunjukkan beberapa tanda seperti dinyatakan di bawah dan mampu mengancam individu yang dijangkiti sekiranya tidak mendapat rawatan segera
d. Walaupun di luar negara wabak ini adalah bermusim, di Malaysia kejadian ini berlaku sepanjang tahun tanpa mengikut musim.
Jenis Influenza
Terdapat 3 jenis virus influenza iaitu:
1) Influenza A : boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan (paling berbahaya). Ianya boleh mengalami mutasi (perubahan genetik) dan menghasilkan virus influenza jenis baharu yang lebih berbahaya. Ia boleh mencetuskan kejadian epidemik dan pandemik influenza. Terdapat pelbagai jenis seperti H1N1 dan sebagainya
2) Influenza B : hanya boleh menjangkiti manusia sahaja. Ianya mengakibatkan reaksi yang kurang parah berbanding jenis A tetapi masih dianggap berbahaya namun tidak boleh menyebabkan pandemik
3) Influenza C : juga boleh dijangkiti pada manusia sahaja. Ianya tidak menyebabkan seseorang sakit teruk dan juga tidak boleh mengakibatkan epidemik
Nota:
- Epidemik influenza adalah kejadian wabak influenza yang menyerang sekumpulan penduduk di sesebuah lokasi atau negara
- Pandemik influenza pula adalah kejadian wabak influenza yang menyerang sebahagian besar dari penduduk dunia. Ia berlaku disebabkan kemunculan virus influenza baru di mana penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus berkenaan. Vaksin influenza sedia ada juga tidak mampu melindungi serangan virus pandemik influenza
Tanda Atau Simptom Influenza
Secara lazimnya, gejala influenza bermula 1 atau 2 hari selepas dijangkiti. Berikut adalah tanda-tanda atau simptom influenza serta perbezaannya dengan demam selsema:
Tanda / Simptom | Deman Selsema / Common Cold | Influenza / Flu |
Demam | Kurang daripada 38 °C | Tinggi. Biasanya melebihi 38°C |
Letih Lesu | Sangat ringan | Teruk dan boleh berlarutan hingga dua ke tiga minggu |
Sakit Otot / Sakit Sendi | Ringan | Sederhana – teruk |
Batuk | Tiada / Ringan | Batuk teruk (tidak berkahak pada peringkat awal) |
Bersin | Tidak kerap | Kerap |
Hidung Berair / Berhingus | Teruk | Tiada / Ringan |
Sakit Kepala | Tiada / Ringan | Sederhana – teruk |
Sakit Tekak | Ringan | Sederhana – teruk |
Penyebab | Adenovirus, Rhinovirus, Parainfluenza virus, Corona virus dan sebagainya | Virus influenza A, B atau C |
Nota: Sering kali jangkitan virus influenza sekadar mengakibatkan gejala/tanda jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap imuniti badan yang baik. Ini bermaksud walaupun simptom tidak kelihatan tetapi seseorang itu boleh membawa atau menyebarkan wabak penyakit ini kerana telah dijangkiti
Virus influenza ini boleh menjangkiti orang yang sama berulang kali menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.
Golongan Berisiko Virus Influenza
Antara golongan yang berisiko tinggi mendapat komplikasi akibat daripada jangkitan virus influenza adalah seperti berikut:
1. Kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah (terutamanya bayi kurang 6 bulan kerana antibodi kurang matang)
2. Warga tua berumur 65 tahun ke atas (kerana imuniti sudah berkurangan)
3. Wanita yang sedang hamil
4. Pesakit kronik seperti lelah, asthma, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain (kerana rendah imuniti)
5. Individu obes (berat badan berlebihan)
6. Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah sama ada akibat penyakit kronik yang dialami (pesakit kanser, HIV dan lain-lain) atau kerana ubatan yang diambil (steroid, kemoterapi dan sebagainya)
Cara Mencegah Virus Influenza
Berikut adalah cara-cara atau tindakan yang perlu diambil untuk mencegah influenza daripada merebak:
1. Dapatkan vaksinasi (vaksin influenza) secara tahunan bagi individu yang berumur 6 bulan dan ke atas di fasiliti kesihatan swasta
2. Pakai penutup mulut dan hidung / topeng muka (face mask) untuk mengelakkan jangkitan influenza
3. Amalkan adab batuk yang elok dengan menutup hidung dan mulut ketika bersin dan batuk sama ada dengan tisu atau sapu tangan, Sekiranya tiada, tutup dengan mengunakan lengan dan siku
4. Buang tisu atau topeng muka (face mask) ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas selesai menggunakannya
5. Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti sering membasuh tangan dengan menggunakan air, sabun dan hand sanitizer
6. Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan /awam dan rehat di rumah sekiranya mengalami tanda atau simptom
Cara Mencegah Virus Influenza
Sekiranya telah terkena virus influenza, tiada rawatan khusus yang diberikan tetapi hanya rawatan simptomatik sahaja. Antara nasihat tindakan yang boleh diambil adalah:
a. Mengambil ubat demam (paracetamol dan sebagainya) bagi melegakan demam dan sakit kepala
b. Minum air atau minuman suam untuk melegakan sakit tekak dan batuk
c. Hindari stres atau tekanan kerana ia boleh melemahkan sistem pertahanan badan
d. Amalkan gaya pemakanan seimbang dan tidur atau rehat dengan secukupnya
e. Sekiranya tanda dan gejala berlarutan atau bertambah teruk, dapatkan rawatan di hospital atau klinik dengan segera
f. Menggunakan ubat anti-viral (tertakluk kepada hasil pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan)
Vaksin Influenza
Berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Vaksin influenza mesti diambil secara tahunan disebabkan formulasi vaksin influenza perlu dikemaskini untuk memastikan kandungannya sepadan dengan virus influenza yang diunjurkan menular pada musim tertentu. Ini kerana perubahan yang berlaku pada struktur virus influenza secara berterusan dan proses tersebut dikenali sebagai antigenic drift
Terdapat dua jenis vaksin iaitu yang pertama vaksin jenis yang dimatikan. Ianya boleh diberikan melalui suntikan ke dalam otot setiap tahun bagi kanak-kanak berumur 6 bulan hingga ke 5 tahun
Vaksin kedua adalah vaksin jenis hidup yang telah dilemahkan. Ianya boleh diberi setiap tahun menerusi semburan hidung pada kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke atas