Cara Daftar SSM Online (Pendaftaran Perniagaan Melalui ezbiz)

Informasi

Informasi

Dengan populasi negara yang semakin bertambah diikuti kos sara hidup yang semakin meningkat, tidak hairanlah sekiranya setiap individu perlu memiliki sekurang-kurangnya satu pekerjaan untuk menanggung diri sendiri ataupun ahli keluarga. Selain bekerja makan gaji sama ada di sektor awam mahupun swasta, antara cara lain untuk menyara kehidupan dengan memperoleh rezeki yang halal di Malaysia adalah melalui bidang perniagaan

Definisi perniagaan (syarikat, perusahaan atau firma) boleh disebut sebagai suatu bentuk organisasi yang sah serta mendapat pengiktirafan untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan, atau kedua-duanya sekali. Majoriti perniagaan merupakan milik persendirian yang mana diasaskan untuk mencari keuntungan supaya dapat meningkatkan kekayaan si pemilik justeru mengembangkan perniagaan tersebut

Bagi yang berminat untuk memulakan perniagaan, pendaftaran perniagaan perlu dilakukan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). SSM adalah sebuah badan berkanun yang diasas menerusi hasil gabungan Pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB) di Malaysia. Buat yang berminat, boleh rujuk cara Mendaftar Perniagaan di SSM dikongsikan di bawah ini

SSM berperanan sebagai sebuah agensi pemerbadanan syarikat serta pendaftaran perniagaan. Selain itu, SSM juga menjadi medium untuk membekalkan maklumat syarikat dan perniagaan kepada orang awam. Menerusi penguatkuasaan serta pemantauan yang komprehensif, SSM mengawal selia pematuhan pendaftaran perniagaan dan perundangan korporat dengan harapan agar sektor korporat dan perniagaan dapat berkembang secara positif demi negara

Cara Membuat Pendaftaran Perniagaan Atau Syarikat Di SSM Melalui EZBIZ Online

Bagi yang ingin memulakan perniagaan dan mendaftarkan syarikat di Malaysia, berikut MYsumber kongsikan panduan untuk mendaftarkan perniagaan di SSM. Panduan yang disediakan termasuk prosedur pendaftaran, syarat kelayakan, fi pendaftaran, panduan am, isi borang daftar SSM dan lain-lain

Syarat Pendaftaran Perniagaan

  1. Pemilik hendaklah mempunyai kewarganegaraan Malaysia atau penduduk tetap
  2. Pemilik perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
  3. Hanya pemilik/rakan kongsi yang dibenarkan untuk mengemukakan permohonan
  4. Perniagaan atau lokasi utama perniagaan dijalankan atau beroperasi di semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan
  5. Dibawah peruntukan seksyen 5, Akta Pendaftaran Perniagaan (APP 1956) sesuatu perniagaan hendaklah didaftarkan tidak lewat dari 30 hari dari tarikh permulaan perniagaan tersebut perlu mengemukakan kepada Pendaftar/SSM pendaftaran perniagaan.
  6. Perniagaan yang didaftarkan mestilah memenuhi seksyen 2 (Taksiran perniagaan) APP 1956 dan tidak meliputi aktiviti berbentuk amal/kebajikan serta apa-apa kerja yang dinyatakan dalam JADUAL (seksyen 2).

Jenis Perniagaan

  • Perniagaan Milik Tunggal : Perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik
  • Perniagaan Perkongsian : Perniagaan yang dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua (2) hingga dua puluh (20) orang rakan kongsi

Prosedur Pendaftaran Perniagaan

Berikut dikongsikan prosedur untuk mendaftar perniagaan di SSM menggunakan EzBiz Online:

1. Layari Laman EzBiz SSM Untuk Membuat pendaftaran Online

Klik butang Sign Up untuk membuat pendaftaran baru. Masukkan maklumat-maklumat yang diperlukan

Informasi

Jika sudah memiliki akaun, isikan Username dan Kata Laluan serta kod verifikasi. Klik butang Sign In

2. Setelah melakukan pendaftaran secara online menerusi pautan di atas, buat pengesahan akaun di pejabat SSM berhampiran (perlu hadir)

  • Kad pengenalan perlu dibawa bersama
  • Pengguna akan dikehendaki untuk mengesahkan cap jari sebagai proses Pengaktifan ID (bagi tujuan keselamatan)
  • Pengesahan hanya perlu dilakukan sekali sahaja
  • Setelah proses pengesahan selesai dilakukan, barulah sistem EzBiz Online dapat digunakan untuk membuat pendaftaran serta pembaharuan perniagaan

3. Klik My Business Services dan klik New Business di bawah seksyen New Business Registration. Isi dan lengkapkan Borang A/Form A (Registration of New Business) dengan maklumat-maklumat berikut:

Cara daftar nama perniagaan (boleh didaftarkan dengan menggunakan nama sendiri atau nama Tred)

    • Nama Sendiri : Nama seperti yang tertera dalam kad pengenalan dan tiada kelulusan nama perniagaan yang perlu dimohon. Contoh: Afiq bin Mahat, Thevinthiran a/l Mariappan, Goh Chin Seong
    • Nama Tred : Nama perniagaan yang dicadangkan serta perlu memperoleh kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dahulu. Contoh: Uniqlean, ABC Enterprise
  • Tarikh mula perniagaan
  • Alamat utama perniagaan
  • Alamat cawangan perniagaan (sekiranya ada)
  • Jenis perniagaan yang akan dijalankan
  • Maklumat pemilik serta rakan kongsi
  • Salinan perjanjian perkongsian (sekiranya ada)

Contoh salinan Borang A: 

Informasi

4. Setelah selesai melengkapkan permohonan dengan maklumat yang diperlukan, lakukan bayaran di bahagian Fees & Declaration (bayaran boleh dilakukan secara online atau di kaunter)

Fi Pendaftaran

KategoriJumlah Fi/Bayaran
Perniagaan pemilikan tunggal (memakai nama sendiri   berdasarkan kad pengenalan)
 RM 30.00
Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian   menggunakan nama tred
 RM 60.00
Pendaftaran cawangan
 RM 5.00 untuk setiap cawangan
Mencetak maklumat perniagaan
 RM 10.60 termasuk GST

Panduan Am Peringatan

  1. Perniagaan mestilah sudah berjalan dan berdaftar kurang dari 30 hari dari tarikh mula perniagaan
  2. Pendaftaran perniagaan yang baru boleh dilakukan bagi tempoh jangka masa setahun dan tidak lebih dari lima (5) tahun pada setiap pendaftaran
  3. Jenis perniagaan yang didaftarkan hendaklah tidak melanggar undang-undang dan bersesuaian dengan ketenteraman awam, keselamatan persekutuan serta tidak bertentangan dengan prinsip moral
  4. Perakuan Pendaftaran Perniagaan dapat diterima dalam tempoh sejam (1) jam dari waktu pembayaran dilakukan
  5. Individu yang menjalankan perniagaan tetapi tidak membuat pendaftaran perniagaan tersebut dianggap sebagai melakukan kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956. Jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda sejumlah maksimum RM 50,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali
  6. Pemilik perniagaan mempunyai tanggungjawab untuk memperoleh lesen, permit atau surat kebenaran yang sepatutnya bagi perniagaan yang dijalankan daripada pihak berkuasa berkaitan. Hal ini perlu dilakukan walaupun perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM

Maklumat Lanjut 

Maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai Cara Mendaftar Perniagaan di SSM ini seperti jawapan kepada soalan-soalan lazim boleh dirujuk menerusi pautan di bawah atau hubungi kaunter SSM serta layari laman web rasmi SSM seperti berikut:

 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan