Bendera Malaysia Jalur Gemilang : Maksud Warna Dan Lambang

Informasi

Informasi

Tanggal 31 bulan Ogos tahun 1957 menandakan berakhirnya era Malaysia sebagai negara yang dijajah oleh kuasa asing. Justeru, hari ke-31 dalam bulan Ogos pada tahun-tahun seterusnya menjadi sambutan hari kemerdekaan bagi seluruh rakyat Malaysia di mana laungan “Merdeka!” serta kibaran bendera Jalur Gemilang memenuhi suasana malam di seluruh tanah air kita

Asal Jalur Gemilang bermula pada tahun 1949. Dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura. Sebuah pertandingan mereka bentuk bendera telah dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dan 3 rekabentuk telah terpilih untuk penilaian akhir, perkenan Majlis Raja-Raja. Rekabentuk milik Mohamed bin Hamzah, arkitek jabatan kerja raya telah dipilih sebagai pemenang pertandingan tersebut yang kemudiannya diperakui oleh Majlis Raja-Raja pada 23 Februari 1950. Namun rekabentuk arkitek jabatan kerja raya itu telah di buat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang asal warnanya putih telah ditukar ke kuning bagi melambangkan warna diraja. Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu hasil ciptaan Mohamed Bin Hamzah telah dikibarkan di hadapan Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur

Setelah dikenali sebagai Bendera Malaysia sejak 1950 (Pertandingan mereka cipta bendera kerajaan persekutuan), pada hari kemerdekaan ke-40 iaitu tahun 1997, namanya diubah kepada Jalur Gemilang di bawah pimpinan Mahathir Mohamad. Nama bendera rasmi diilhamkan dan diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan tersebut dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pengisytiharan oleh Tun Dr. Mahathir berlangsung pada jam 11.58 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40 malam 31 Ogos 1997

Rakyat Malaysia juga pasti sudah sedia maklum serta menghafal lirik lagu khas yang dicipta untuk memperingati serta membanggakan bendera negara. Selain itu, ia bertujuan untuk mengangkat identiti bendera dan menyeru rakyat Malaysia untuk mengibarkan bendera tersebut dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat

Maksud Warna Dan Lambang Bendera Malaysia Jalur Gemilang 

Setiap elemen atau aspek yang terdapat pada reka bentuk bendera Malaysia mempunyai huraian masing-masing. Malah perkataan Jalur dan Gemilang mempunyai maknanya yang tersendiri.

Maksud Nama Jalur Gemilang

Huraian maksud nama adalah seperti berikut:

1. Jalur

  • Menggambarkan Bendera yang mempunyai 14 jalur merah dan putih
  • Lambang jalur pada Bendera menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara

2. Gemilang

  • Bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang
  • Ianya memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara
  • Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas

Maksud Warna Pada Bendera Jalur Genilang

Huraian maksud warna pada bendera Malaysia adalah seperti berikut:

Biru 
Menggambarkan perpaduan rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum di negara ini seperti Melayu, Cina, India

Merah
Warna merah menunjukkan keberanian dan kesediaan dalam mengharungi segala jenis cabaran demi negara yang tercinta

Putih
Melambangkan kesucian dan keluhuran hati rakyat dalam mengangkat nama negara ke persada dunia

Kuning
Warna kuning melambangkan warna Diraja, secara khususnya menggambarkan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang Berperlembagaan

Maksud Lambang Pada Jalur Gemilang

Berikut dikongsikan huraian maksud lambang yang ada:

Bulan & Bintang 
Menggambarkan Agama Islam sebagai agama persekutuan negara

Bintang Pecah 14
Menunjukkan perpaduan 13 buah negeri dan 1 wilayah persekutuan

14 Jalur
14 jalur berwarna merah dan putih yang sama lebar menggambarkan 13 buah negeri anggota dan sebuah Wilayah Persekutuan yang memiliki keanggotaan yang sama dalam negara Malaysia

Infografik

Informasi

Fakta Menarik Jalur Gemilang

Berikut dikongsikan beberapa fakta menarik berkaitan bendera Malaysia yang barangkali ramai tidak tahu:

  1. Sekiranya bendera mahu dipasang pada tiang besar seperti pada bangunan pejabat atau sekolah, ia mestilah dinaikkan menggunakan tali pada waktu pagi dan diturunkan pada petang hari yang sama. Kebiasaanya di Malaysia, bendera dinaikkan pada jam 7.00 pagi dan diturunkan sebelum jam 7.00 malam
  2. Bendera tidak boleh dibiarkan meleret ke tanah semasa dinaik dan diturunkan. Ia hendaklah ditatang atau diselimpangkan di bahu
  3. Individu yang bertugas menaik dan menurunkan bendera mestilah berpakaian kemas. Tidak boleh memakai pakaian yang mencolok mata, atau memakai kain sarung yang disenteng ke paras lutut, tidak berbaju, tidak berkasut dan sebagainya. Dilarang sama sekali menghisap rokok atau vape sewaktu menaikkan bendera
  4. Bendera perlulah dinaikkan dan diturunkan secara perlahan-lahan dalam keadaan tidak tergesa-gesa
  5. Orang yang berada di sekitar tiang tersebut hendaklah berdiri semasa bendera dinaikkan
  6. Sekiranya berlaku kematian pembesar dan bendera hendak dikibarkan separuh tiang, maka ia perlulah dinaikkan sehingga ke puncak dahulu, kemudian diturunkan perlahan-lahan ke separuh tiang sebagai tanda berkabung
  7. Bendera tidak boleh dikibarkan dalam keadaan gelap. Sekiranya ingin dikibarkan pada waktu malam, maka bendera perlu disuluh dengan spotlight
  8. Bendera boleh dibuat baju dengan syarat memotong kain lain yang mempunyai warna bendera. Memotong bendera menandakan seseorang itu tidak menghormati negara
  9. Bendera tidak boleh dibuat kain kelubung untuk menutup kepala
  10. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat lapik duduk. Oleh itu paling tidak sesuai jika bendera dijadikan seluar

Lain-lain Fakta Menarik

1. Bolehkah bendera dibuat baju? Boleh dengan syarat memotong kain lain yang mempunyai warna bendera. Tidak sepatutnya bendera dipotong untuk dibuat baju. Memotong bendera bererti tidak menghormati negara

2. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat stokin atau kasut / selipar. Kita lihat banyak juga selipar yang dicetak bendera Union Jack. Itu adalah perbuatan tidak hormat pada bendera. Jangan ikut perangai mereka

3. Jika bendera hendak dipasang pada kereta, pastikan ia dipasang teguh. Banyak yang tercabut dan jatuh ke jalan sehingga dilenyek kenderaan lain. Ini tidak menghormati bendera. Jika dipasang pada kereta pastikan ia diikat atau dilekatkan dengan kuat

4. Jika hendak dipasang pada lori atau bas, pastikan tidak terlalu besar hingga mengganggu pengguna jalanraya lain. Kita suka pasang yang besar-besar. Apabila lori berhenti di lampu merah, benderanya menutup muka penunggang motosikal. Ini sungguh tidak bertimbang rasa

5. Bendera boleh digunakan untuk selimut pemenang sukan tanda kejayaan negara, tapi awas… jangan sampai meleret ke tanah

6. Bendera boleh digunakan untuk menutup keranda perajurit, tetapi jangan bawa masuk ke dalam liang kubur

7. Jangan pijak bendera negara sendiri atau bendera negara orang lain. Jika ada rakyat negara jiran yang pijak bendera kita, jangan ikut.  Jika kita ikut mereka, kita juga akan dilihat tidak cerdik

8. Bendera yang telah lusuh warnanya, atau telah koyak akibat dikibarkan terlalu lama hendaklah dimusnahkan. Cara musnahkan bendera ialah dengan dibakar. Jangan buang bendera lama di tong sampah atau tong kitar semula. Jangan kibarkan bendera yang lusuh atau yang sudah koyak atau tinggal separuh.

9. Bendera yang masih cantik dan sempurna jangan dibakar. Meskipun bendera itu kita beli dangan wang kita sendiri. Membakar bendera adalah tanda tidak hormat kepada negara. Ingat yang kita beli hanya kain, yang kita bakar adalah simbol maruah negara

10. Bolehkah bendera digantung terbalik? Boleh. Itu tandanya negara berada dalam keadaan bahaya (distress). Jadi jika negara tidak dalam keadaan bahaya, jangan diterbalikkan bendera

Lirik Lagu Jalur Gemilang

Informasi

Ciptaan: Pak Ngah Suhaimi
Penyanyi: Swara
Lirik: Siso

Video Lagu

Related : dato onn, perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan, keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13, melambangkan perpaduan rakyat malaysia yang berbilang kaum, merah dan putih berselang seli,

 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan